PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah merangka perancangan bagi memastikan skuad Harimau Malaya lebih bersedia menghadapi dua baki perlawanan penting menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan depan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kem latihan pusat skuad negara akan bermula pada penghujung Mei selepas saingan Liga Malaysia (Liga-M) berehat untuk kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, permintaan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang mahu penerbangan sewa khas untuk ke Kyrgyzstan juga telah ditunaikan oleh badan induk itu.

“Jurulatih telah bersetuju dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tarikh latihan pada penghujung Mei atau awal bulan Jun sebelum kita ke Kyrgyzstan.

“Untuk pengetahuan, kita ke Kyrgyzstan menggunakan penerbangan sewa khas. Itu permintaan Pan-gon supaya kita tak perlu dua kali transit sebelum sampai sana.

“Pan-gon juga tengah analisa para pemain yang dia mahu ambil. Perkara itu telah dibincang awal sebelum MFL buat jadual liga,” katanya.

Skuad negara akan menghadapi Kyrgyzstan pada 6 Jun di laman lawan sebelum menentang Taiwan pada aksi terakhir kumpulan lima hari selepas itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika ini, Harimau Malaya berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dan memerlukan kemenangan dalam usaha mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Piala Dunia. - Sinar Harian